Apakah garam Himalaya, garam laut Celtic, dan garam mata air, pilihan yang lebih sihat berbanding garam 'meja' atau garam kilang/garam halus yang biasa digunakan?

Tular di TikTok baru-baru ini topik 'kemurnian' makan garam laut Celtic selepas seorang pempengaruh kesihatan dari luar negara mendakwa, meletakkan secubit garam di bawah lidah sebelum minum air boleh meningkatkan hidrasi. Ia lantas mencetuskan perbahasan dalam kalangan netizen tentang kelebihan mengambil garam yang lebih mahal harganya.

Apabila diminta untuk menentusahkan faedah kesihatan jenis garam tertentu, pakar kesihatan dan pakar pemakanan memberitahu Bernama, semua garam 'hampir sama' dan pada asasnya garam terdiri daripada sodium klorida, yang penting untuk fungsi tubuh seperti mengekalkan imbangan cecair serta fungsi otot.

Bagaimanapun, sodium klorida juga bertanggungjawab untuk kebimbangan kesihatan berkait dengan pengambilan garam berlebihan seperti tekanan darah tinggi.

Di sebalik kebimbangan itu, pakar bersetuju sesetengah jenis garam mungkin mengandungi kandungan galian lebih tinggi berbanding yang lain, bergantung kepada cara pemprosesannya.

Pensyarah Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Zulfitri Azuan Mat Daud berkata, daripada perspektif kesihatan, semua jenis garam ada sodium klorida yang menyebabkan rasa masin.

"Perbezaannya ialah garam itu mengandungi jumlah galian atau kekotoran berbeza yang memberi rasa, warna serta tekstur yang pedar," beliau memberitahu Bernama.

Beliau menambah, menentukan garam yang 'terbaik' akan menjadi subjektif memandangkan ia bergantung kepada pilihan, keperluan diet atau aplikasi makanan seseorang.

Prof Dr Norhaizan Mohd Esa, pensyarah di Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM pula berkata, sama ada orang ramai menggunakan garam laut Celtic yang lebih sihat atau garam Himalaya, garam mata air, garam buluh atau garam kosher, hakikatnya kandungan sodium hampir sama dalam semua jenis garam.

"Ada sesetengah garam mempunyai kelebihan berbanding garam 'meja'. garam laut Celtic, garam Himalaya dan garam mata air turut mengandungi galian termasuk kalsium, kuprum, zink, besi dan kalium, selaim sodium klorida.

"Hasil kandungan galian tinggi, garam berkenaan mungkin boleh bantu mengekalkan paras cecair tubuh, kerja saraf dan pergerakan otot," tambahnya.

Mengulas mengenai kegemaran mengambil garam laut Celtic, pakar pemakanan Reshmy Ranee berkata, ia menjadi popular selepas seorang 'guru' kesihatan mendakwa di TikTok "dengan meletakkan kristal garam laut di bawah lidah sebelum minum air, ia akan menarik air masuk terus ke dalam sel, menghidrasikan tubuh secara betul, jika tidak, air hanya akan lalu begitu sahaja."

"Dakwaan itu hanya (taktik) pemasaran oleh mereka yang mahu membuat untung daripada garam berkenaan," katanya.

"Sel tubuh kita masih menyerap air dengan atau tanpa garam memandangkan 70 peratus tubuh kita mengandungi air," katanya.

Menurut beliau, pengambilan air dengan garam dinasihatkan bagi mereka yang kehilangan banyak elektrolik, menerusi sebagai contoh, larian maraton.

Mengenai pelbagai jenis garam dan asal usulnya, garam laut Celtic adalah garam laut asli diambil secara terus dari air laut di muara sungai dekat Guérande, Perancis dan pesisiran pantai lain, sementara garam Himalaya kebanyakannya dari lombong garam Khewra di wilayah Punjab, utara Pakistan.

Garam mata air pula terbentuk apabila air mata air semula jadi dari air bawah tanah mengalir menerusi garam batu. Air air mata air yang masin ini mengalir di atas tanah dan secara semula jadi menyejat dan kristal yang tinggal dituai dengan tangan.

Sementara itu, garam 'meja' diperolehi dari lombong garam dan diproses bagi membuang kekotoran serta galian, dan meninggalkan hanya sodium klorida yang diperkaya dengan iodin. Garam biasa juga mempunyai bahan tambahan seperti agen pengantikerak.

Mengenai harga runcit, garam 'meja' dijual antara RM0.90 dan RM1.34 sekilogram sementara garam laut Celtic Perancis (250g) berharga RM7.13. garam batu galian Himalaya (250g) berharga RM3.89 dan garam mata air Sierra Nevada (250g) sekitar RM11.85.

Mengulas tentang harga tinggi garam alternatif 'lebih sihat' Dr Zulfitri Azuan berkata, ia mungkin kerana proses pengeluaran lebih rumit dan hakikat garam itu dituai dengan tangan, menggunakan kaedah tradisional.

Beliau menambah, usaha penjenamaan dan pemasaran di samping faedah kesihatan yang diuar-uarkan, mungkin menyumbang kepada harga yang tinggi.

Garam perlu diambil sederhana, sama ada ia mengandungi atau tidak mengandungi, pelbagai galian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengambilan harian garam sebanyak lima gram, bersamaan satu sudu teh. Jumlah ini termasuk garam yang boleh dilihat atau tersembunyi dalam perasa, makanan diproses, makanan yang diawet atau snek.

Berdasarkan Tinjauan Garam Komuniti Malaysia 2019 oleh Institut Kesihatan Awam di Kementerian Kesihatan, empat daripada lima orang dewasa Malaysia mengambil lebih banyak garam daripada paras disyorkan. Purata pengambilan garam orang dewasa Malaysia ialah 7.9 gram, bersamaan 1.6 sudu teh sehari.

Dr Norhaizan, sementara itu berkata, semasa Ramadan, ramai orang memilih mengambil makanan tinggi kandungan garam seperti ikan kering dan telor masin terutama semasa sahur kerana ia membantu menaikkan selera.

"Namun pengambilan tinggi garam dengan disertai pengambilan air yang kurang menjejaskan tubuh. Garam meningkatkan dahaga dan keadaan ini juga menyebabkan paras sodium dalam darah meningkat (hipernatremia). (Apabila ini berlaku) jumlah cecair dalam saluran darah meningkat dan tekanan dalam saluran menjadi tinggi, menyebabkan jantung terpaksa bekerja lebih keras.

"Jika keadaan ini kekal berlaku, individu yang mengalami keadaan ini boleh mengalami kekejangan otot atau sawan dan (malah) koma)," katanya.

Ikuti Channel Tip Kesihatan supaya tidak terlepas tip kesihatan terkini. Jom! Klik Sini

-hmetro


Post a Comment